SEBAHAGIAN daripada peserta OKU daripada pelbagai peringkat umur dan pelajar yang terlibat menjayakan Program Wheel For Disable-GLC Bersama OKU 1Malaysia di UTM Kampus Antarabangsa, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Seringkali kita mendengar keluhan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) tentang kesusahan pergerakan mereka dan masalah pendapatan yang tidak menentu.
Kini selepas kejayaan idea lima pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengorak langkah berjaya mengilhamkan idea dalam membantu golongan OKU melalui peluang keusahawanan sosial.
Idea ini diilhamkan oleh lima pelajar yang terdiri Ruzimi Mohamed, Muhammad Izuddin Ahmad, Ahmad Izzuddin Mohd Nor, Maizatul Afzan Yahya dan Sharifah Azni Syed Nizar dengan ketika menyertai projek inovasi pengiklanan OKU melalui pertandingan Cabaran Untuk Perubahan DiGi.
Projek pengiklanan kerusi roda OKU bermatlamat membantu golongan berkenaan untuk mendapatkan tajaan kerusi roda elektrik sekali gus menjana pendapatan sampingan dengan melakukan pengiklanan pada kerusi roda manual mereka.
Melalui idea dan peluang keusahawanan ini syarikat milik kerajaan (GLC) atau mana-mana individu yang ingin menunaikan tanggungjawab korporat sosial mereka boleh menyalurkannya kepada OKU ini sekaligus turut mempromosikan syarikat mereka.
Dalam menjayakan projek ini, sebuah program perintis yang dinamakan Wheel For Disable-GLC Bersama OKU 1Malaysia dengan kerjasama Majlis Paralimpik Malaysia serta Persatuan Orang-Orang Cacat Anggota Malaysia (Pocam) telah diadakan baru-baru ini di Universiti Teknologi Malaysia Kampus Antarabangsa Kuala Lumpur yang berobjektif memberi penerangan kepada golongan OKU tentang fasa pertama projek ini dalam menggiatkan promosi dan mendapatkan penajaan..
Pengarah programnya yang juga ketua projek,, Ruzimi Mohamed berkata, program ini adalah perintis yang bertujuan untuk memberi pengenalan kepada golongan OKU tentang pengiklanan ini sekali gus mewar-warkan kepada masyarakat serta pihak syarikat untuk menaja dan membantu golongan ini.
"Hasil penajaan tersebut akan digunakan untuk mendapatkan kerusi roda elektrik, elaun bulanan untuk OKU serta kos pengurusan serta material pengiklanan yang dinamakan 'Starterkit Disable Advertisement'.
"Syarikat yang ingin menaja boleh memilih pakej yang ditawarkan bagi membantu golongan OKU yang menyertai program ini akan mengiklankan syarikat tersebut mengikut pakej yang dipilih.
"Pihak penaja juga tidak perlu bimbang tentang OKU yang tidak mengiklankan syarikatnya kerana pihak kami mempunyai cara pemantauan yang unik menggunakan internet, telefon bimbit serta media sosial," katanya.
Ruzimi yang juga pelajar Doktor Falsafah Sains Komputer berkata, melalui program ini golongan OKU berkerusi roda bukan dan tidak perlu meminta-minta simpati masyarakat sebaliknya mereka perlu berusaha berkerja dengan mengiklankan syarikat penaja sekaligus menepis tanggapan bahawa golongan OKU tidak mampu berdikari.
"Program ini juga membantu meningkatkan semangat OKU untuk bersosial dengan masyarakat serta mengikis sifat malu mereka untuk keluar dari rumah mereka," katanya.
Mereka yang berkerusi roda yang ingin menyertai projek ini, bolehlah mendaftar di www.disabledads.com.my atau www.facebook.com/pages/DisabledAds
Manakala syarikat yang ingin menunaikan tanggungjawab korporat sosial mereka juga boleh menyalurkan bantuan penajaan kepada OKU ini dengan menghubungi di imi_special@yahoo.com atau telefon di 012-9055445 (Ruzimi Mohamed) atau 012-7622304 (Muhammad Izuddin).
Oleh MOHD. SAIFUL MOHD. SAHAK
kampus@utusan.com.my
0 comments:
Catat Ulasan