Perkhidmatan Bas Percuma

ARKIB : 02/07/2012
Perkhidmatan bas percuma untuk 10,000 rakyat Kelantan


Mustapa Mohamed (kanan) bersama Mohd. Nadzmi Mohd. Salleh (kiri) berbincang pada pelancaran Bas Mesra Alam Pertama Kelantan di Kota Bharu, Kelantan, semalam. - utusan/Zuharman Mohamad Nor

KOTA BHARU 1 Julai - Lebih 10,000 rakyat negeri ini yang tidak berkemampuan dan golongan orang kurang upaya (OKU) akan mula menikmati perkhidmatan bas Cityliner secara percuma bermula hari ini.

Kesemua mereka yang dipilih oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menerima tiket prabayar sebanyak RM50 sebulan untuk ke mana-mana destinasi di negeri ini melalui perkhidmatan bas tersebut.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ia merupakan bantuan yang diberikan oleh Kerajaan Pusat secara khusus untuk rakyat di negeri ini sahaja dengan melibatkan peruntukan sebanyak RM1.6 juta.

Beliau berkata, bantuan tersebut termasuk dalam peruntukan sebanyak RM16 juta yang diberikan kepada Konsurtium Transnasional Berhad (KTB) untuk memastikan perkhidmatan bas henti-henti Cityliner di negeri ini diteruskan.

"Pada Januari lalu, perkhidmatan 150 buah bas yang beroperasi di 33 laluan telah dihentikan selama 11 hari kerana syarikat tidak dapat menanggung kos yang tinggi dan telah mengalami kerugian mencecah hampir RM10 juta setahun.

"Ia merupakan inisiatif Kerajaan Pusat untuk membantu golongan miskin, orang kurang upaya (OKU) dan pelajar yang tidak berkemampuan mendapatkan perkhidmatan secara percuma sepanjang tahun ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Bas Mesra Alam Pertama di Kelantan di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi dan Pengarah Urusan Konsortium Transnasional Berhad (KTB), Datuk Seri Mohd. Nadzmi Mohd. Salleh.

Pada majlis tersebut, Mustapa turut menyampaikan tiket prabayar kepada golongan yang memerlukan itu.

Sebanyak 10 buah bas yang menggunakan bahan api gas asli mampat (CNG) yang mesra alam sekitar akan mula beroperasi di negeri ini.

Bas henti-henti berkuasa CNG Cityliner mula digunakan pada 2007 di negeri-negeri pantai barat kerana terdapat kemudahan infrastruktur pengisian gas tersebut.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Cinta Kedai Runcit

Laporan dan foto AININULNIZA MOHD YUSOF
am@hmetro.com.my


BAHAGIA... Azman dengan tiga kali lafaz sah menjadi suami dan Suriani dengan restu kedua-dua keluarga.

KANGAR: Pertemuan di sebuah kedai runcit akhirnya melahirkan bibit cinta pandang pertama buat pasangan orang kurang upaya (OKU) sebelum sepakat mendirikan rumah tangga pada majlis penuh meriah di Taman Bunga Padi, Bintong di sini, semalam.

Pengantin lelaki, Azman Abd Wahab, 32, yang menghidap sindrom down kelihatan ceria apabila dipertemukan dengan isteri, Suriani Wahab, 33, yang mengalami penyakit sama.


Ibu Azman, Piah Pin, 57, berkata anak ketiga daripada lapan beradik itu mula berkenalan dengan isterinya sejak dua bulan lalu selepas bertemu di sebuah kedai runcit di Kampung Hutan Lembah, Mata Ayer, dekat sini, ketika mahu ke rumah sepupunya.


Menurutnya, mata Azman begitu asyik memandang Suriani lalu dia yang turut berada di situ cuba mengusik anak lelakinya untuk bergurau.


“Saya mendapati Azman begitu asyik melihat ke arah Suriani lalu saya mengusiknya sama ada dia berkenan dengannya (Suriani) sebelum Azman hanya tersenyum malu, sambil menganggukkan kepala tanda dia menyukai Suriani.


Menurutnya, apabila Suriani memberi persetujuan dalam diam, keluarganya datang merisik sebelum mengambil kata putus agar mereka disatukan.




“Setakat ini, Azman memaklumkan akan tinggal bersama isterinya di rumah keluarga kami, dan mereka juga sedang merancang untuk membina kehidupan baru termasuk mencari pekerjaan tetap demi masa depan keluarganya,” katanya.


Sementara itu, jiran Piah, Saidah Salleh, 64, berkata dia terkejut dan tidak percaya apabila mendapat tahu bahawa Azman akan berkahwin kerana mengetahui lelaki itu seorang yang istimewa tetapi menyokong hasrat keluarga terbabit.


“Kami gembira kerana Azman akhirnya melangsungkan perkahwinan dengan gadis pilihannya dan mendoakan agar hubungan mereka berkekalan sehingga ke akhir hayat,” katanya.


Suriani sah menjadi isteri Azman dengan tiga kali lafaz sambil dibantu bapa saudaranya ketika dinikahkan di rumah Suriani di Kampung Hutan Lembah, Mata Ayer, di sini, kelmarin kerana lelaki itu tidak boleh bertutur dengan baik.


Hadir sama ke majlis perkahwinan kedua insan istimewa itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pauh, Datuk Seri Diraja Syed Razlan Putra Jamalullail dan isteri, Datin Seri Sharifah Hishmah Syed Hasan Shahabudin yang juga Penaung Persatuan Sindrom Down Perlis.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/08

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...