Cinta Kedai Runcit

Laporan dan foto AININULNIZA MOHD YUSOF
am@hmetro.com.my


BAHAGIA... Azman dengan tiga kali lafaz sah menjadi suami dan Suriani dengan restu kedua-dua keluarga.

KANGAR: Pertemuan di sebuah kedai runcit akhirnya melahirkan bibit cinta pandang pertama buat pasangan orang kurang upaya (OKU) sebelum sepakat mendirikan rumah tangga pada majlis penuh meriah di Taman Bunga Padi, Bintong di sini, semalam.

Pengantin lelaki, Azman Abd Wahab, 32, yang menghidap sindrom down kelihatan ceria apabila dipertemukan dengan isteri, Suriani Wahab, 33, yang mengalami penyakit sama.


Ibu Azman, Piah Pin, 57, berkata anak ketiga daripada lapan beradik itu mula berkenalan dengan isterinya sejak dua bulan lalu selepas bertemu di sebuah kedai runcit di Kampung Hutan Lembah, Mata Ayer, dekat sini, ketika mahu ke rumah sepupunya.


Menurutnya, mata Azman begitu asyik memandang Suriani lalu dia yang turut berada di situ cuba mengusik anak lelakinya untuk bergurau.


“Saya mendapati Azman begitu asyik melihat ke arah Suriani lalu saya mengusiknya sama ada dia berkenan dengannya (Suriani) sebelum Azman hanya tersenyum malu, sambil menganggukkan kepala tanda dia menyukai Suriani.


Menurutnya, apabila Suriani memberi persetujuan dalam diam, keluarganya datang merisik sebelum mengambil kata putus agar mereka disatukan.




“Setakat ini, Azman memaklumkan akan tinggal bersama isterinya di rumah keluarga kami, dan mereka juga sedang merancang untuk membina kehidupan baru termasuk mencari pekerjaan tetap demi masa depan keluarganya,” katanya.


Sementara itu, jiran Piah, Saidah Salleh, 64, berkata dia terkejut dan tidak percaya apabila mendapat tahu bahawa Azman akan berkahwin kerana mengetahui lelaki itu seorang yang istimewa tetapi menyokong hasrat keluarga terbabit.


“Kami gembira kerana Azman akhirnya melangsungkan perkahwinan dengan gadis pilihannya dan mendoakan agar hubungan mereka berkekalan sehingga ke akhir hayat,” katanya.


Suriani sah menjadi isteri Azman dengan tiga kali lafaz sambil dibantu bapa saudaranya ketika dinikahkan di rumah Suriani di Kampung Hutan Lembah, Mata Ayer, di sini, kelmarin kerana lelaki itu tidak boleh bertutur dengan baik.


Hadir sama ke majlis perkahwinan kedua insan istimewa itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pauh, Datuk Seri Diraja Syed Razlan Putra Jamalullail dan isteri, Datin Seri Sharifah Hishmah Syed Hasan Shahabudin yang juga Penaung Persatuan Sindrom Down Perlis.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/08

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...